Powered By Blogger

Tuesday 14 August 2018

KAEDAH E-PEMBELAJARAN (FundofInst.)


KAEDAH E-PEMBELAJARAN



Era teknologi maklumat dan komunikasi hari ini, e-pembelajaran menjadi satu istilah yang popular dan mempunyai pelbagai tafsiran dan persepsi. Namun begitu secara umumnya, e-pembelajaran dapat didefinisikan sebagai satu proses pembelajaran yang menggunakan sistem atau komponen elektronik bagi mempelbagaikan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keboleh capaian dan keberkesanan pembelajaran (Kamaludin Ahmad 2006). 
Definisi tentang e-Pembelajaran (e-Learning) bolehlah disimpulkan bahawa ianya merupakan suatu konsep pembelajaran, latihan atau program pendidikan yang dilakukan dengan menggunakan media elektronik sebagai pengantaraan untuk keseluruhan pergerakan data dan maklumat pengajaran daripada guru atau pensyarah kepada pelajar dan sebaliknya.
Konsep e-Pembelajaran melibatkan penggunaan komputer dan internet, selain peralatan elektronik lain yang bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Penulisan dan penghasilan bahan-bahan kandungan untuk e-pembelajaran ini kebiasaannya disampaikan dalam bentuk disket, CD, DVD, video, audio atau melalui internet atau juga intranet. Secara dasarnya, e-pembelajaran ini melibatkan penggunaan komputer atau komponen elektronik termasuklah CD-ROM dan bahan pembelajaran melalui atas talian (online).
E-pembelajaran ini secara langsung membolehkan proses pembelajaran jarak jauh yang canggih dilaksanakan tanpa mengira jarak dan bilangan ahli yang melayarinya. Melalui e-pembelajaran, murid dapat mengamalkan pembelajaran secara kendiri yang berterusan di samping berupaya menyampaikan pengetahuan dengan lebih berkesan berbantukan teknologi terkini yang lebih menarik dan interaktif.
Sememangnya e-Pembelajaran telah terkenal dalam kalangan para pendidik dan pelajar sejak beberapa tahun yang lalu. Ia sebenarnya merupakan istilah yang merujuk kepada penggunaan pelbagai jenis komputer dan media elektronik, beberapa alat komunikasi dan juga internet untuk menyampaikan pengetahuan serta menyediakan latihan dalam mata pelajaran tertentu. Kelebihan pembelajaran melalui kaedah ini ialah:-

1.      Masa yang fleksibel. Pelajar boleh menghadiri kelas-kelas dalam talian pada bila-bila masa mengikut masa mereka sendiri sama ada siang atau malam.
2.      Tempat yang fleksibel. Pelajar boleh mengekses ilmu di mana sahaja jika mempunyai komputer serta capaian internet.
3.      Pelajar boleh mengambil bahagian dan berkongsi pengetahuan dan maklumat dalam bilik darjah secara maya bersama pelajar-pelajar lain dari serata tempat dan mempunyai kepelbagaian aras pemikiran dan potensi.
4.      Merupakan kaedah pembelajaran yang lebih menarik kerana ia mengandungi teks, animasi, grafik, audio dan video yang menarik. Tambahan pula kemudahan untuk perbincangan atas talian dan bantuan professional untuk isi kandungan juga disediakan sebagai pendekatan kepada pendidikan, latihan dan maklumat yang lebih berstruktur dan bersepadu.
5.      Kaedah e-Pembelajaran ini dapat menjimatkan masa serta mengurangkan kos. Pelajar dapat belajar sesuai dengan kemampuan mereka. Ia juga lebih bersifat pembelajaran dan latihan kendiri, sangat fleksibel bagi pelajar di sekolah ataupun pelajar yang sedang bekerja sepenuh masa tetapi mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Terdapat beberapa komponen penting yang terlibat dalam persekitaran e-pembelajaran ini seperti:-
1.Infrastruktur atau perkakasan (cth. makmal komputer, computer meja, komputer riba, tablet, telefon pintar serta talian rangkaian dan internet)
2. Bahan kandungan pengajaran secara elektronik (cth. e-modul, multimedia courseware, nota kuliah secara elektronik, video dan audio)
3. Sistem pengurusan e-pembelajaran (cth. Blackboard, WebCT, Moodle, Mambo, Learnmate, Lotus Learning Space, dan Kalaideskop)
4. Kaedah komunikasi (cth. email, forum, chat, sms, wechat, whatsapp dan email-group)
5. Polisi dan prosedur e-pembelajaran, dan sikap / amalan pengguna.



Namun demikian terdapat juga beberapa kelemahan yang dikatakan tentang kaedah e-pembelajaran ini, seperti:-
1.      Pelajar yang tidak mempunyai motivasi yang tinggi akan cenderung untuk gagal atau membuang masa.
2.      Tidak semua pelajar atau tempat mempunyai akses kepada kemudahan internet atau pelajar tergolong dalam golongan kurang berkemampuan.
3.      Tidak semua guru mempunyai kemahiran menggunakan teknologi dan perisian terkini. Hal ini akan membantutkan serta mengurangkan kecekapan mengaplikasikan kaedah ini dalam pengajaran mereka.
4.      Kecenderungan pelajar untuk mengabaikan aspek social dalam kehidupan.
5.      Kurang interaksi antara guru dengan murid boleh menyebabkan objektif pembelajaran yang sebenar tidak dapat dicapai sepenuhnya.
6.      Masalah kos dan keterbatasan software

Kesimpulannya, e-pembelajaran merupakan satu alat bantu mengajar yang terbaru dan menggunakan kemudahan ICT bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran sama ada dalam kelas ataupun di luar kelas. Pada pandangan saya, e-pembelajaran mampu memberikan impak yang positif jika digunakan dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para guru, pensyarah serta pelajar. E-pembelajaran juga dapat membantu penerapan kemahiran abad ke 21 dalam sistem pendidikan terkini hari ini.


# Jika anda rasa artikel ini bermanfaat atau perlukan penambahbaikkan, berkongsi maklumat, pandangan atau pendapat sila nyatakannya diruang komen. Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment