Powered By Blogger

Tuesday, 14 August 2018

GURU CEMERLANG (MofInst.)

Guru Cemerlang/Guru Ulung




Pengertian guru cemerlang boleh dilihat daripada segi bahasa dan istilah. Guru cemerlang merupakan dua perkataan yang mewakili perkataan ‘guru’ dan ‘cemerlang’. Guru dalam The Encyclopedia of Education (Lee, 1971) disebut sebagai teacher, iaitu golongan yang menyediakan pelajar dengan kemahiran seperti membaca dan menulis serta melakukan lain-lain kewajipan yang berkaitan dengan para pelajarnya itu. Biasanya juga perkataan guru itu membawa maksud orang yang mengajar tingkah laku yang baik, mendorong kepada pengamalan etika masyarakat menerusi contoh teladan untuk menjadi warganegara yang baik. Oleh kerana itulah seorang guru dibimbing dengan secara baik.
Berdasarkan definisi yang dibincangkan, secara ringkas guru ialah seorang yang mempunyai ketinggian peribadi, cekap dengan kepelbagaian kaedah Pembelajaran dan Pengajaran, mampu mewujudkan iklim dan personaliti bilik darjah yang baik serta mempunyai kepakaran, kecekapan dan kemampuan membuat keputusan profesional yang bertanggungjawab menyedia dan merancang Pembelajaran dan Pengajaran. Seterusnya guru ialah mereka yang mengajar para pelajar dengan matlamat selain memberi panduan, nasihat, dan petunjuk yang baik, mengelakkan kesesatan, membantu meningkatkan kefahaman. Guru Cemerlang dapat membezakan antara yang benar dan yang salah, melatih, membimbing, memupuk bakat, serta meningkatkan potensi dan seni. Guru juga menanam, menyuci, menitis, menyuburkan dan memelihara fitrah mereka dengan didikan rohani, akhlak, sahsiah, adab, budaya, dan kemasyarakatan yang baik. Selain itu, guru juga mendidik, mengasuh, menjaga, membesarkan, mencurahkan kasih sayang dalam rangka pembentukan dan pembangunan jasmani para pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) sehingga menjadi insan yang benar-benar sempurna dari pelbagai aspek.
Cemerlang bermaksud bersinar atau bercahaya dengan terang, berkilauan, gilang-gemilang, indah dan elok sekali, serta mencapai kejayaan yang sangat baik. Menurut (Al-Ba‘labaki, 2003) dalam al-Mawrid bahawa cemerlang merupakan mumtaz dalam bahasa Arab. Kalimah ini mempunyai maksud yang bermacam-macam, iaitu excellent (cemerlang, sangat baik, sangat mahir), distinguished (unggul, bertokoh), dan superior (hebat, tinggi, meninggi diri, lebih tinggi). Mumtaz juga bermaksud outstanding (cemerlang, ulung, penting, menonjol dalam kerjanya), exceptional (luar biasa), first-rate (sangat baik), first-class (kelas satu, kelas pertama, ulung, sangat baik, cemerlang, baik betul), thoroughbred (baka baik), top-notch (handal, hebat), tiptop (baik), of the first degree (dalam kedudukan kelas pertama). Selain itu, mumtaz juga bermakna fancy (banyak hiasan, sukar dilakukan, istimewa, terlalu mahal atau tinggi, khas), fine (bagus, baik, baik sekali, sangat baik, indah, sangat cantik, halus, bagus, sesuai, tulen, jati), exquisite (sangat cantik, sangat halus buatannya), select (terpilih), choice (pilihan, tepat), superb (sangat istimewa, hebat), super (hebat), extra (tambahan, lebih, lebih drpd biasa), dan premium (bonus, sukar ditemui).
Oleh itu, ungkapan istilah bahasa guru cemerlang merupakan satu ungkapan yang terkandung dalamnya ciri istimewa dari segi sifat seperti mempunyai ketokohan dan keunggulan, hebat, handal, tinggi kehormatan, ulung, penting kepada orang sekeliling, menonjol sifat baik diri, sentiasa berada dalam barisan hadapan atau kelas satu atau kelas pertama dan ulung. Manakala dari segi pekerjaannya pula berjaya menghasilkan sesuatu yang gilang-gemilang, indah, elok, sangat mahir, istimewa, hebat, terlalu berharga, bagus sekali, sangat baik, sangat cantik, halus, sesuai, tepat, tulen lagi asli, dan tinggi serta luar biasa sehingga sukar dilakukan oleh orang lain. Begitu juga fizikalnya seperti tampak hebat penampilan, bergaya, menjadi orang pilihan, orang yang lebih daripada orang lain, orang yang lebih daripada orang biasa, sukar ditemui, baik keturunannya.
Ringkasannya Guru Cemerlang adalah mereka yang mampu membawa perubahan serta memberikan impak yang berkesan kepada pelajar mereka dari sudut perkembangan JERIS yang dapat merubah kehidupan mereka serta masyarakat umumnya.






# Jika anda rasa artikel ini bermanfaat atau perlukan penambahbaikkan, berkongsi maklumat, pandangan atau pendapat sila nyatakannya diruang komen. Terima Kasih.



No comments:

Post a Comment