Definisi disiplin menurut Kamus Dewan, merujuk kepada latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib. (DBP, 2002 : 308). Mok Soon Sang (1995) pula menyatakan pada peringkat sekolah, disiplin adalah peraturan-peraturan yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman atau ganjaran. Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979, menjelaskan disiplin bermakna kesanggupan seseorang melakukan sesuatu dengan tertib, menghormati hak orang lain, mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.(Abdullah Sani, 2006 : 1). Manakala pembelajaran pula ialah proses yang berlaku apabila terdapat perubahan dalam perlakuan pelajar hasil daripada penglibatannya dalam suatu pengalaman pendidikan (Nicholls, 2002). Secara umumnya, “learning is about how we perceive and understand the world, about making meaning” (Marton & Booth, 1997; dirujuk oleh Fry et al., 2003), dan oleh itu pembelajaran boleh merupakan prinsip abstrak, maklumat fakta, pemerolehan kaedah, teknik dan pendekatan melakukan sesuatu, idea, perlakuan yang bersesuaian bagi situasi tertentu, mengenali sesuatu, dan juga penaakulan (reasoning) (Fry et al, 2003). Disiplin dalam proses pembelajaran adalah suatu yang penting untuk mencapai kecemerlangan pelajar.
Konsep disiplin mengikut P.F Olivia (1956) ialah merujuk kepada kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan bilik darjah yang teratur, kursus pengajian yang sistematik, cara yang menetapkan peraturan atau hukuman. Di dalam konteks semasa, disiplin diri ialah kawalan tingkahlaku diri sendiri mengikut kehendak nilai – nilai sosial masyarakat dan agama. Disiplin diri juga merupakan kawalan kendiri individu tanpa desakan atau paksaan dari mana – mana pihak. Disiplin yang kuat merupakan faktor yang dapat membantu kejayaan seseorang individu di dalam kehidupan. Sehubungan itu disiplin amat mempunyai perkaitan dalam proses pembelajaran yang mana ianya menjadi salah satu faktor yang membantu seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Disiplin bukan sahaja membantu kejayaan individu tetapi ia juga dapat menentukan masa depan Negara. Kecemerlangan sesebuah Negara juga bergantung kepada sikap dan nilai rakyatnya, kekuatan disiplin akan menjadikan sesebuah Negara mampu berdaya saing dalam dunia global. Disiplin boleh diterapkan secara formal di sekolah atau tidak formal di rumah atau di luar rumah.
Di peringkat sekolah, disiplin merupakan peraturan yang dikenakan terhadap pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman atau ganjaran. Sehubungan itu, sekolah memainkan peranan penting bagi membentuk disiplin pelajar. Pihak sekolah seharusnya mewujudkan suasana pembelajaran yang menggalakkan pembentukan disiplin unggul. Justeru itu, struktur dan gaya pentadbiran sekolah keseluruhannya dapat membantu menentukan kekuatan dan kelemahan disiplin. Unit Bimbingan dan kaunseling sekolah khususnya, harus berperanan aktif dalam membantu pihak pengurusan sekolah untuk menangani masalah disiplin. Sebagai pembimbing profesional, mereka mempunyai tugas membimbing pelajar bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah, tetapi juga membentuk iklim sekolah yang tidak bermasalah. Antara faktor – faktor yang boleh di titikberatkan dalam pembentukan disiplin yang berkesan seperti :
(i) Mengadakan keperluan asas atau infrastruktur yang lengkap serta mencukupi.
(ii) Mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang teratur, berkesan dan menarik minat pembelajaran.
(iii) Menimbulkan keazaman pelajar untuk mencapai cita – cita dan tujuan pembelajaran.
(iv) Menaman nilai – nilai positif, progresif dan dinamik serta menggalakkan pelajar memupuk kesempurnaan kendiri.
(v) Menyekat pengaruh dan unsur – unsur negatif yang tidak diingini masuk ke dalam kawasan sekolah.
(vi) Memastikan kerapian disiplin dan peraturan – peraturan yang jelas dan mudah di fahami dan di patuhi.
(vii) Menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan mengelakkan situasi yang boleh menimbulkan kerungsingan dan konflik.
(viii) Mewujudkan suasana kemesraan terkawal antara guru dengan murid dan antara murid dengan murid serta menjamin pemeliharaan harga diri.
Menurut Mok Song Sang, sekiranya masalah disiplin berlaku, terdapat tatacara menyelesaikan masalah seperti berikut:
(i) Kaji masalah disiplin yang berlaku secara objektif
(ii) Mewujudkan suasana tenang semasa mencari punca masalah
(iii) Cuba memahami perasaan murid yang melanggar disiplin tersebut
(iv) Memberi nasihat supaya murid tersebut sedar akan kesalahannya
(v) Merujuk kes kepada guru disiplin atau kaunseling untuk tindakan sewajarnya.
Peranan guru amat penting dalam membentuk disiplin dan sahsiah pelajar. Semasa murid berada di sekolah guru bukan sekadar sebagai pengajar semata – mata kepada pelajar bahkan mengambil alih tugas ibu bapa sebagai pendidik, pemimpin, pengasuh dan pembimbing kepada pelajar. Kegagalan membentuk masyarakat berakhlak mulia sama seperti mengakibatkan kehancuran kepada sesebuah masyarakat. Seharusnya setiap guru perlu mengenali setiap anak muridnya secara mendalam dan mengenal pasti tabiat, tingkah laku dan mengenal pasti perubahan – perubahan yang berlaku ke atas sikap, emosi, penampilan dan gerak - geri muridnya. Pengaruh guru terhadap pelajar juga amat kuat kerana pelajar sering mengambil guru sebagai model mereka. Guru boleh menggunakan pengaruh tersebut secara positif dan membina.
Dalam mewujudkan disiplin yang tinggi semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, perkara berikut mungkin boleh dilaksanakan seperti:
(i) Menimbulkan minat pelajar terhadap pembelajaran
(ii) Mendedahkan pelajar kepada ilmu pengetahuan yang berguna dan praktikal.
(iii) Menimbulkan kesedaran kepada pelajar serta memupuk nilai – nilai murni
(iv) Menyediakan pengajaran yang menarik, bermakna, pelbagai dan mengembirakan
(v) Mewujudkan kemesraan antara guru dan murid
(vi) Memberi penghargaan dan layanan yang setimpal kepada murid
Peranan ibu bapa juga menjadi faktor utama mewujudkan disiplin yang tinggi terhadap anak – anak. Tempoh para pelajar berada di rumah lebih panjang berbanding di sekolah. Ibu bapa seharusnya mempunyai banyak masa untuk mendekati anak – anak serta mengambil tahu perkembangan pembelajaran anak – anak di rumah. Menurut pandangan Dr. Loh Sit Fong, Pensyarah Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyatakan, “Masalah disiplin berlaku kerana jati diri yang lemah, pengaruh sikap ibu bapa yang kasar, konflik keluarga dan terbabit dalam penderaan”. Kita sedia maklum tentang kesibukan ibu bapa hari ini menjadi faktor penyumbang yang besar keruntuhan disiplin anak – anak, anak – anak tidak mendapat perhatian dan didikan sewajarnya dari ibu bapa sewaktu mereka berada di rumah. Kadangkala terdapat ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak – anak yang menyebabkan anak – anak merasakan dirinya tidak mendapat kasih sayang sewajarnya dari ibu bapa. Ini menjadi alasan bagi anak – anak untuk bebas melakukan aktiviti sendiri samaada aktiviti tersebut positif atau negatif tanpa pemantauan ibu bapa. Suasana persekitaran di rumah juga menjadi penyumbang kepada peningkatan disiplin anak – anak atau sebaliknya. Rumahtangga yang porak peranda tidak mungkin akan membantu pembentukan disiplin yang sempurna malah emosi anak – anak juga mungkin terganggu. Antara prinsip – prinsip yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam meningkatkan disiplin anak – anak adalah seperti berikut:
(i) Memastikan adanya kemesraan dan kasih sayang yang sewajarnya
(ii) Mengadakan perbincangan dan dorongan motivasi
(iii) Mengambil berat hal – ehwal anak – anak
(iv) Memerhati, mengenalpasti dan membuat teguran terhadap tingkah laku anak – anak
(v) Mengambil berat kemajuan dan perkembangan pendidikan anak – anak
(vi) Menjaga dan memahami perasaan anak – anak
(vii) Memberi didikan agar anak – anak dapat berdikari, bertanggungjawab dan bersemangat tinggi.
(viii) Memberi dorongan bagi menentukan hala tuju masa depan anak – anak
(ix) Menggalakkan anak – anak memupuk kesempurnaan diri dan menjaga maruah diri dan keluarga.
Pelajar juga berperanan untuk meningkatkan disiplin kendiri. Kebolehan pelajar mengawal tingkah laku yang positif merupakan faktor penting dalam membentuk kekuatan disiplin serta jati diri. Faktor disiplin sememangnya membantu kecemerlangan pelajar di dalam pembelajaran. Antara prinsip – prinsip yang boleh diamalkan oleh pelajar dalam meningkatkan disiplin adalah seperti:
(i) Meningkatkan keazaman dan semangat jati diri bagi mendorong kejayaan yang cemerlang.
(ii) Meningkatkan kesungguhan dan komitmen dalam melakukan aktiviti atau tugasan yang diberikan
(iii) Mengetahui kepentingan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran
(iv) Mampu mengenalpasti dan mengelak pengaruh – pengaruh negatif yang menjejaskan pembelajaran.
(v) Memahami tujuan dan hala tuju masa depan
(vi) Menanam perasaan yang positif terhadap diri sendiri atau harga diri
Dalam meningkatkan kecemerlangan pembelajaran, ibu bapa dan guru perlu menjalankan kerjasama yang erat untuk membentuk disiplin yang unggul. Ada sesetengah ibu bapa yang kadangkala bertindak mengikut emosi apabila pihak sekolah mengambil tindakan tatatertib terhadap anak mereka dalam menanggani masalah disiplin. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana tabiat terlalu memanjakan anak boleh merosakkan serta merugikan anak tersebut, seterusnya boleh menggalakkan lagi maslah disiplin di kalangan pelajar. Disiplin yang tinggi merupakan kunci utama kejayaan proses pembelajaran. Bagi memastikan tujuan tersebut dapat dicapai, guru perlu merancang dan melaksanakan strategi tertentu yang berkesan begitu juga dengan ibu bapa perlu memastikan dan memikirkan cara untuk meningkatkan disiplin anak – anak mereka. Ibu bapa dan guru perlulah bersemangat dan memberi komitmen penuh terhadap pembangunan sahsiah pelajar. Ibu bapa dan guru perlulah komited dengan komitmen kerajaan dalam merealisasikan aspirasi dan wawasan Negara. Para pelajar juga seharusnya perlu meningkatkan jati diri, bersemangat dan berjiwa besar bagi mencapai tujuan pembelajaran. Pembelajaran bukan sahaja masa depan mereka bahkan juga merupakan masa depan Negara.
No comments:
Post a Comment